Archive for 2012

Di mana "IKHLAS"


Di zaman yang serba teknologi dan moden ini, wang menjadi pertaruhan untuk hidup. Secara analitikalnya, wang adalah pemudah cara seterusnya menjadi kehormatan kepada seseorang. Usahlah kita lihat lihat pada insan yang darjatnya tinggi seperti pembesar-pembesar atau pemerintah, tapi lihatlah norma masyarakat di sekeliling anda. Cuba anda perhatikan jika seseorang itu miskin, penghinaannya akan berterusan, dihinanya pemalas, diludahnya saban hari tapi ingatlah jangan sampai ludah itu terpalit kepada diri anda sendiri.  Aku masih ingat bacaa aku pada satu artikel yang mengatakan didikan yang mengajar manusia bersikap tidak ikhlas. Contohnya ibu menyuruh Daniel pergi ke kedai membeli bawang atau sebagainya, secara automatiknya Daniel akan diberi upah kerana menolong ibunya pergi kedai. Di manakah terlektaknya keikhlasan Daniel? Menolong ibu adalah kewajipan bagi seorang anak seperti Daniel. Tidak patut aku meneliti cerita tersebut seandainya aku sendiri tidak mempunyai keikhlasan seperti itu. Petang tadi, baharu rakan aku, Kamil meminta pertolongan dari rakan-rakan menjadi ‘mentara’ pada kenduri abangnya 25 haribulan ini. Terdetik di hatiku, kenapa tiada upah? . Walaupun kata-kata itu terdetik sesaat, itu sudah menandakan ketidakikhlasanku dalam menolong. Jikalau disebut wang, mesti semangat aku hendak menolong. Jikalau diberi upah, itu bukan bererti menolong lagi tetapi ditakrifkan sebagai satu pekerjaan. Terdetik beberapa persoalan berkaitan agama, bagaimanakah jika seorang bukan islam menolong orang islam dengan ikhlas akan diberi pahala oleh Allah? Orang bukan islam itu amat baik orangnya, budi bahasanya dijaga, mudah meminta sebarang pertolongan, dan peramah orangnya. Mengapa Allah tidak membuka hati orang bukan islam tersebut untuk memasuki islam? Persoalan itu tidak sukar dijawab oleh orang yang berilmu. Teringat aku pada sepotong hadis yang mengatakan, “berbezalah orang yang berilmu pengetahuan dan sebaliknya ketika berbicara”. Di sini dapat dirungkaikan bahawa Islam amat menuntut umatnya mencari ilmu dan mematangkan diri. Islam tidak mengajar kita untuk sentiasa bersolat 24 jam. 

Teringat satu nasihat motivasi berunsur islam yang diberi oleh salah seorang guru ketika aku berumur 17 tahun. Namanya Ustazah Che Su mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman. Alhamdulillah aku masih ingat doa yang beliau ajar ketika tiap kali perhimpunan. Besarnya pahala beliau apabila ilmu yang diajar berguna untuk anak-anak muridnya. Itulah antara pahala yang tidak terputus bagi seseorang ketika berpisah dengan alam dunia.  bolehkah aku menjadi seorang guru seperti Ustazah Che Su? Beliau ada menceritakan kisah 2 wanita yang hidup berjiran. Seorang wanita itu, kerjanya hanya bersolat hampir seharian waktu dan tidak membuat sebarang aktiviti dalam kehidupan, sebaliknya seorang wanita lagi hanya bersolat lima waktu seharian tapi melakukan aktiviti lain. Pada pendapat kalian, wanita manakah yang paling diredhai oleh Allah?Tepuk dada tanya Iman. Dalam ilmu sedalam-dalamnya barulah kita menyakini Allah itu wujud. Janganlah kita meniru secara membabi buta perlakuan orang lain sedangkan kita tidak tahu perkara itu hak atau batil.

Perjuangan yang ikhlas


Berkhidmat dengan ikhlas.

Hampir seminggu aku bercuti atau lebih tepat menjadi seorang penggangur terhormat di Jitra. Semangat aku hampir hilang sepenuhnya untuk membuat sebarang anjakan paradigma dalam hidup. Sebentar tadi, aku menonton sebuah rancangan televisyen yang berkisarkan tentang seorang Gabenor Jakarta . Aku amat kagum melihat personaliti yang ditonjolkan beliau dalam berkhidmat dengan penuh keikhlasan pada masyarakat. Sifat rendah diri dan peramah membuatkan rakyat Jakarta senang berbincang sebarang permasalahan dengan beliau. 

Aku melihat kembali dalam hidupku, apa yang telah aku sumbangkan kepada masyarakat dan personaliti yang aku tonjolkan dalam membina masyarakat madani. Telah diungkapkan bahawa seorang pemimpin harus telus dan berjiwa patriotik dalam memimpin sesebuah masyarakat. Sedangkan solat pun aku tidak dapat menjaga dengan baik, apatah lagi menjaga kelompok masyarakat. Aku hanya insan hina  di mata Allah serta tiada kudrat untuk membuat sebarang perubahan dalam diri. Jikalau aku tidak berjaya sekalipun, aku mohon kepada Allah supaya diberi peluang menabur bukti kepada masyarakat. Tanamkan sikap tolong-menolong, toleransi, dan mudah didekati akan menjamin kehidupan yang lebih diredhai Allah.  Aku tekad aku akan berubah pada minggu hadapan, aku dah tak sanggup hidup tak keruan seperti ini. Ya Allah berikanlah hamba-hambamu ini kekuatan untuk berubah. Pernah aku terbaca satu artikel tentang sirah Nabi Muhammad yang ketika itu berbual dengan salah seorang sahabat beliau. Beliau mengatakan berada dalam keadaan “MISKIN” sebanarnya tidak susah, yang paling susah ialah “BERUBAH” dari keadaan miskin kepada kaya. Bila difikirkan semula, tepat kata-kata tersebut dalam kehidupan kita. Segala otot kardiovaskular aku tidak bermaya untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup. Tidaklah maju sesebuah negara jika rakyatnya tidak membunyai ilmu dan mengamalkannya. Mungkin takdir aku menjadi guru telah ditentukan oleh Allah dan memberi aku peluang kepadaku untuk berkhidmat kepada masyarakat. Berkhidmat dengan ikhlas menjadi tunjang dalm prinsip kehidupan seharian. DISIPLIN satu sikap yang boleh membawa kita kepada kejayaan kerana itulah terletak asas penting kepada individu dalam membetuk keperibadian mulia. 

Kehidupan yang fana


Mengapa aku hidup?
Siapa diri aku ni?
Bagaimana aku hendak meneruskan kehidupan?

Persoalan di atas timbul secara tiba-tiba dan memaksa untuk aku menjawabnya dengan ikhlas. Zaman muda mengingatkan aku tentang wanita, nafsu, dan rakan-rakan. Adakah aku hidup untuk mencari perempuan dan memuaskan nafsu? Susah nak diperjelaskan  ketika usia muda mengajak diri menyahut cabaran. Aku akui, aku pernah ketika dahulu sangat tergila-gilakan perempuan sehingga tidak boleh tidur pada waktu malam. Wajah dan badan yang mengiurkan menjadi idaman nafsu diri aku ini. Kecantikan perempuan terus aku perhambakan sedangkan aku lupa bahawa aku boleh memiliki bidadari di syurga yang jauh lebih jelita dengan hanya berbekalkan amalan yang dilakukan. Coretan yang aku tulis semuanya berkisarkan kehidupan diriku yang masih terkial-kial menjawab persoalan yang masih tidak terjawab.

Kadang-kala berseorangan itu lebih baik dari berdua. Berkhalwat dengan Allah dalam usaha mencari siapa diri aku sebenar. Cabaran demi cabaran dilalui memberi aku jawapan menjawab persoalan yang kedua. Segar dalam ingatanku kata-kata Dr. Jeyagobi iaitu pensyarah berbangsa India yang aku sanjung dan hormati kerana ilmu dan nasihat yang berguna untuk pemantapan diri aku sebagai seorang guru. Kami sering berdiskusi mengenai penampilan guru dan wanita. Apa yang kamu cari pada wanita ketika kamu umur 20? Itulah soalan yang membuat mindaku berfikir sejenak. Dengan pantas aku menjawab, mestilah kecantikan dan lenggokan badan seorang perempuan itu. Soalan kedua ialah Apa yang kamu kehehendaki apabila kamu berumur 23? Mindaku bergolak sekali lagi dan jawapan aku ialah kedudukan dan kecantikkan. Dapat dilihat di sini, kecantikan berada pada tangga yang kedua dan kedudukkan wanita tersebut berada pada tempat pertama. Secara tidak sedar, jawapan yang aku utarakan itu menunjukkan aku matang dalam memilih wanita. Beliau juga mengatakan bahawa apabila usia kamu meningkat kamu akan sedar yang dalam memilih wanita, banyak aspek yang perlu dilihat seperti faktor keluarga, kerjaya, dan kehidupan peribadi.  

Pada waktu ini, smua negara mementingkan tenaga muda untuk memacu ekonomi dengan lebih pesat. Aku sedar aku berada pada kelompok orang muda yang menjadi harapan bangsa dan negara. Tetapi apa yang telah ku lakukan untuk negara? Selalu diungkitkan kata kata hikmat, “ memberi lebih baik dari menerima”. Apabila aku fikir kembali, sebetulnya aku tidak memberi yang terbaik untuk negara dan bangsa aku sendiri. Aku sering terlupa Mengapa aku hidup atas dunia yang fana ini, kalau tidak kerana sujud dan beribadah kepada Allah. Apa lagi yang hendak dilakukan. Sering kali manusia lupa tujuan hidup di atas dunia ini. Duit dan pangkat diutamakan sehingga lupa tanggunjawab terhadap agama dan bangsa. Kadang kala aku terfikir tiada guna aku cari wang sebanyak mana, jikalau hidup ini tidak beribadah kepada Allah.  Dunia tempat kita mencari rezeki yang halal dan landasan untukkita menuju ke akhirat.

 Semangat aku lemah bila aku dihimpit cabaran dunia.  Sifat mazmumah bongkak , hasad dengki akan mengheret kita ke mahkamah akhirat. Muhammad Zufar bin Abdul Razak, bolehkah kamu menggoncang dunia dengan mencurahkan ilmu yang bermanfaat untuk kemajuan bangsa sendiri. Ayuh bangkit Zufar, jangan hanya pada nama terletak Islam, harus disemaikan nilai-nilai murni keislaman dalam diri sejajar dengan arus dimensi dunia. jawapan setiap persoalan aku telah jumpai, tapi sayang, tiada tindakan dan semangat dalam diri ini. Di mana semangat itu, di mana aku harus carikan. Aku takut lalai dengan keseronokkan dunia sehingga lupa Islam tertera pada sanubari hatiku. HIDUP, HIDUP, HIDUP. Titis air mata aku ketika memikirkan cabaran pada hadapan. Bolehkah aku mengharunginya?

::kecekalan dalam menempuh cabaran adalah sifat yang dicari-cari dalam diri penulis.

Semangat untuk berniaga


Rasulullah pernah menyebut bahawa  9/10 rezeki manusia datang dari kaedah perniagaan. Alangkah ruginya jika manusia tidak mengambil peluang sebegini. Di entri kali ini, aku ingin berkongsi pengalaman aku dalam berniaga. Pada tahun 2009, iaitu 4 tahun lepas diriku mulai berkecimpung dalam perniagaan internet. Aku menjual barang digital dalam pasaran antarabangsa. Persoalannya, bagaimana aku menjual dan di mana produknya? Sebenarnya aku hanyalah agen yang menjual barang syarikat dan menerima komisyen bila produk dapat dijual. Bunyi mungkin agak mudah tapi hakikatnya pelbagai ilmu perlu dipelajari dari hari ke hari. Walaupun digelar amatur dalam bidang ini, aku sudah memperoleh kejayaan walaupun sedikit. Selepas itu, tidak ada lagi usaha dalam diriku untuk menimba ilmu dalam perniagaan internet.
Aku lebih suka melakukan sesuatu kerja dalam keadaan tertekan kerana menurut penceramah terkenal, Dr HM tuah bahawa kita harus mewujudkan tekanan dalam diri untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Aku sedar aku tidak dapat beristiqamah dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Jika tiada tekanan, bermakna tiada lagi usaha untuk berjaya. Ya Allah, aku mohon kepadaMu berikanlah kepadaku kekuatan untuk melakukan sesuatu kerja secara istiqamah. Lemah semangat untuk aku mulai kembali bergiat aktif dalam bidang perniagaan. Aku tidak dapat mencipta tekanan untuk membuat lonjakan aktif dalam perniagaan.

AFFILIATE ::

Affiliate ialah seorang agen yang menjual produk orang lain untuk mendapat komisyen. Komisyen akan diberikan jika produk telah dapat dijual. Pada akhir tahun 2012, iaitu Disember 2012 aku telah mencari peluang menjadi agen syarikat P1 wimax. Terima kasih kepada rakan saya iaitu Syuha Basri yang memberi peluang kepadaku untuk menjadi agen di syarikut tersebut. Ketika itu, tekanan yang ku terima ialah masa dan wang. Masa sebagai seorang remaja tidak bermakna jika aku tidak melakukan sesuatu untuk mencari rezeki yang halal. Pengalaman menjadi agen P1wimax mengajar aku erti perniagaan yang sebenar. Kemahiran komunikasi perlu dikuasai untuk menyakini pembeli membeli produk kita. Awal-awalnya aku agak malu untuk menjual kerana tiada kepakaran dalam menjual produk fizikal. Setelah dua minggu menjadi agen, aku masih belum dapat menjual produk syarikat. Hibanya rasa di hati kerana belum membuat sebarang keuntungan sedangkan aku telah bersusaha sedaya upaya. Tetapi Allah telah membuka rezeki kepadaku, aku dapat menjual hampir 40 modem dalam  masa 2 minggu. Itu merupakan satu kejayaan yang amat cemerlang yang menjadi coretan yang tidak dapat aku lupakan. Aku masih ingat, ketika itu aku amat kesempitan wang. Setiap hari aku akan membawa bekal nasi goreng dari rumah kerana waktu jam berkerja ialah selama 10 jam. Aku cuba berlagak ceria untuk menyembunyikan kesedihan dalam  diri. Sebak rasanya mengenang kembali waktu itu.

Pelbagai ragam pelanggan yang telah ku temi, ada yang marah, ketidakpuashatian, dan sebagainya. Tetapi aku tetap sabar menghadapi semua itu kerana berpegang kepada prinsip “Costomer always right”. Di situlah aku dapat melihat bagaimana agen profesional lain menjual produk dengan mudah. Bagi diriku, kita harus yakin, serius dan tekun untuk berjaya dalam perniagaa yang diceburi. Waktu untuk aku melepak bersama rakan-rakan amat terhad kerana akauntabiliti terhadap kerja. Alhamdulillah, Allah membuka pintu rezeki kepadaku mengaut keuntungan. Walaupun rezeki yang diberi tidaklah sebesar rumah banglo, tapi telah melaith diriku menjadi agen yang profesional. Kemahiran yang ku pelajari ini sedikit sebanyak membantu aku menceburi bidang berkaitan dengan “marketing”. Kesusahan yang telah tempuh selama sebulan berkerja akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Bayangkan, pada semester 7 aku tidak meminta wang dari ayah dan bondaku dan membuatkan mereka pelik dengan sikap sebegitu. Aku hidup mewah dengan wang tersebut dan mencapai segala keinginan yang ada. Aku tidak akan berdiam diri sekiranya tidak dapat memuaskan nafsu. Aku sedar, waktu senang membuatkan diriku terus hanyut dibuai dosa. Aku takut jika aku mempunyai wang yang banyak kerana aku yakin aku tidak dapat mengurusnya dengan sempurna dan melabur ke arah kemaksiatan.

Ada ketika aku mendengar ceramah dari corong radio yang mengatakan Allah memberi rezeki kepada hamba-hambanya atas tanggungjawab yang dipikul. Memang tidak hairanlah jika masyarakat megatakan bahawa anak-anak itu pembawa rezeki kepada keluarga. Siapa yang tidak mahukan kekayaan? Jawapannya ada dalam diri setiap insan manusia. Tapi bagaimana kita hendak menjadi kaya-raya mengikut acuan islam? Besar dimensi yang harus dipersoalkan sebelum berangan menjadi kaya. Kita melihat orang kaya yang hidup senang lenang, rumah besar, kereta mewah, malahan mempunyai orang gaji yang ramai. Pernahkah kita terfikir kesusahan yang mereka tempuhi sebelum kejayaan hadir dalam hidup mereka? Bagi orang yang mempunyai sifat mazmumah, mereka sentiasa mencemuh orang lain tanpa melakukan sebarang usaha untuk mencapai kejayaan seperti mereka.

“kepahitan adalah adalah resepi kepada kejayaan”

Satu nikmat bagi seseorang insan merasai manis selepas berpuluh-puluh tahun berada dalam kepahitan. Aku cuba mewujudkan tekanan dalam diri untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Pada kali ini aku harap , aku dapat melakukan sesuatu untuk meneroka dalam perniagaan internet. Ku akui sukar untuk bertapak dalam bidang ini, tapi aku terpaksa dan tekanan inilah yang memaksa aku untuk melakukan sesuatu. Aku perlu bermula dari bawah dan mendaki gunung yang curam  bagi menggapai bendera kemenangan. Aku harus meletakkan matlamat dan bertindak secara pantas dan agresif. Aku sudah sedia dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat ini. Adakah aku boleh melakukannya? Jeritan batinku tidak dapat didengari oleh insan lain. Mindaku mula resah memikirkan rancangan yang patut dibuat. Seorang yang matang harus berfikir dengan meletakkan objektif dan perancangan masa depan. Keputusan yang dibuat harus mengambil  kira semua pihak agar tiada pihak yang tersinggung. Perancangan pada minggu ini, aku akan tetapkan objektif yang patut aku lakukan dan bertindak secara agresif. Ingat Muhammad Zufar bin Abdul Razak, jangan sesekali lengahkan masa yang ada. Masa tidak akan kembali dan menunggumu, tetapi jika dapat digunakan dengan sebaiknya, ia akan memberi sesuatu yang lebih bernilai dari emas. Waktu untuk aku berehat sudah tamat. Semangat harus aku semarakkan lagi dan aku yakin Allah sentiasa bersamaku. Ya Allah, berikanlah aku semangat untuk membuat perniagaan ini, kau permudahkan jalan yang ku tempuh.

Semangat yang hilang



Diriku yang ku anggap arjuna ini bukan seteguh benteng tembok di China. Ku anggap ruangan  ini satu pembakar semangat untuk aku mencari identiti dirku sebanar. Sampai kapan pun aku tidak akan menemui siapa diriku sebenar jika tidak dicari saban hari. Tamat belajar di Institut Pendidikan Guru bukan bermakna kesenangan yang dihadapi, tapi cabaran yang mendatang tidak kutahu asal-usulnya. Bagaimana aku hendak mengawal emosi marah?

SOD BA RA :: SABAR

Di mana kesabaran aku itu. Mudah melenting diri ini jika ada yang menyentuh fizikal dan rohani. Aku tercari –cari di mana boleh aku hasilkan individu yang mempunyai ciri sabar. Cuti kali ini, aku ingin membuat satu perniagaan yang mempunyai pendapatan yang pasif dan agresif. Kelemahannya, aku tidak mempunyai semangat yang membara. Semangat yang ada sekarang tidak kuat untuk dicucuk diri ini menjadi lebih pantas dan agresif. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk untuk aku gapai impian ini. Mungkin setiap insan mempunyai niat yang sama sepertiku. Ingin dimakbulkan segala doa, sedangkan kita tidak sedar Allah tahu mana yang terbaik buat hamba-hambanya. Doa yang dipinta semuanya diterima oleh Allah, keyakinan harus ada pada seruan illahi. Aku seru semua sahabat dan saudara sesama islam, janganlah kita melupai pencipta kita, kerana Dialah yang kita akan ketemu nanti. Titis air mataku ini jika mengingati Mati, kurasakan hidup ini sekadar bayangan gurauan yang tiada penghujungnya. Apa yang dicari akan hilang jua. Kadang-kala itu membuatkan aku hilang semangat untuk terus berjaya dalam kehidupan. Benar apa yang ditulis di Al-quran, Manusia yang leka mencari harta, adalah orang yang bodoh.

Ibadah dalam kehidupan

Apabila disebut berkenaan dengan ibadah kepada Allah, rata-rata insan memahami bahawa ibadah itu menunaikan rukun islam, walhal kita tidak sedar ibadah ini merangkumi segala aspek dalam kehidupan contohnya bersukan dan bekerja. Dalam bersukan jika kita menutup aurat, itu sudah dinamakan ibadah. Islam menggalakkan umatnya beriadah untuk mendapat kesihatan yang baik. Setiap perjalanan dan gerak kerja kita setiap hari dinamakan ibadah jika kita mengikut panduan yang telah ditetapkan islam. Sentiasa aku terapkan diri aku sebagai pejuang islam dalam menegakkan agama Allah. Setiap manusia tidak pernah lari dari melakukan kesalahan, oleh itu taubat nasuha adalah jalan yang terbaik untuk diri membersihkan dosa. Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hambanya tanpa mengira pangkat dan darjat. Pada masa ini, solat diutamakan dalam diriku. Sememangnya bukan senang kita nk beristiqamah dalam melakukan kebaikan. Solat adalah tiang agama dan menjadi tanggungjawab besar kepada umat islam untuk menunaikannya.

Di mana pengorbanan kita terhadap islam setakat ini sedangkan ibadah solat tidak dijaga. Kehidupan di Kuala Lumpur membuatkan diriku hampir melupai Allah dalam setiap aspek kehidupan. Pengaruh rakan-rakan menghasut diri untuk mendekati kejahatan. Sepenuh penghargaan tidak terhingga kepada kedua ibu-bapa aku kerana memberi didikan yang sempurna dari aspek dunia dan akhirat. Menuntut ilmu adalah dituntut dalam islam untuk mencapat potensi individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, emosi dan sosial. Masyarakat akan menghormati kita sekiranya ilmu yang kita amalkan memberi kebaikkan kepada kehidupan. Setakat ini, aku masih belum dapat menjaga solat dengan sempurna. Alangkah sedihnya diri aku ini kerana bersikap demikian rupa. Kenapa aku masih tidak boleh berubah? Mengapa ini berlaku dalam hidupku? Allah telah memberi akal fikiran dan kudrat untuk hamba-hambanya berfikir. Hari raya puasa yang lepas mengajar aku erti perubahan yang sebenar. Salah seorang rakan yang ku anggap jahat telah berubah dengan mendadak. Dahulunya Kadir merupakan rakan yang plaing jahat pernah aku kenal. Sudah lima tahun kami tidak berhubung, tetapi dengan ketentuan Allah, aku telah menemuinya dalam laman sosial. Luluh hati aku ini melihatnya menuntut ilmu di sekolah pondok. Mukanya semakin berseri, ternyata dia telah diberi hidayah oleh Allah. Aku sentiasa doakan dia supaya terus berada di jalan yang diredhai Allah. Mulai saat itu, aku mula bersolat lima waktu sehari walaupun ada yang tertinggal. Aku cuba beristiqamah dalam menunaikan solat setiap hari. Aku takut jika aku MATI dalam keadaan tidak menunaikan ibadah Allah. Aku akui bahawa sukar untuk insan seperti aku berubah ke arah kebaikkan kerana sudah banyak debu-debu dosa dalam diri ini. Dicerca oleh rakan-rakan membuatkan aku lebih bersemangat untuk beribadah kepada Allah.

Ternyata bila aku sujud ke tanah menyembah Allah, ketenangan dapat ku rasai. Perasaan merendah diri timbul untuk menghakis sifat mazmumah dan menerapkan sifat mahmudah. Hanya Allah tempat aku berlindung dan meminta segala apa yang dihajati. Iman mudah goyah jika kita tidak kuat menghadapi cabaran tersebut. Dedikasi kepada Ustaz Fadzil yang mengajar Fardhu ain ketika aku masih di sekolah rendah. Ilmu yang diberi beliau telah memberiku kekuatan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang islam. Insyaallah pada cuti ini, aku akan menjaga solat dengan sebaiknya dalam usaha untuk menerangi hatiku yang sudah gelap dimakan dosa. Semangat dalam beribadah insyaallah memberi kita tenaga bagi menghadapi dugaan dalam kehidupan duniawi. Dalam surah al-asr mengatakan bahawa manusia yang tidak menghargai masa adalah insan yang paling rugi.


::kata-kataku bukan niat untuk bermegah diri ::


Syukur kepada Allah


Alhamdulillah.
Itulah ungkapan pertama yang keluar dari bibir manisku ini bila tamat pengajian selama 5 tahun setengah sebagai seorang pelatih guru. Memang diakui  pelbagai onak dan duri telah ku tempuhi. tetapi aku tabah menghadapi semua itu demi ibu dan ayah yang tersayang. Tidak pernah telintas dalam kotak mindaku ini menjadi seorang guru apatah lagi mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pejuang bangsa dan negara. Aku masih hidup kerana Allah masih memberi peluang kepadaku untuk terus beribadah kepadanya. 

Adakah aku tidak matang?
Perkataan "matang" mempunyai dimensi yang berbeza mengikut pengalaman dan kehidupan seseorang. Aku tergerak menulis semua ini kerana kehidupan memberiku sedikit pengalaman untuk dilakar melalui tulisan. Matang pada aspek fizikal ialah pembesaran tubuh badan bagi lelaki dan perempuan, berbeda sekali dengan kematangan dari aspek emosi. Kematangan emosi dan perlakuan menunjukkan di mana tahap kita berada. Seringkali aku rebah apabila hendak menjawab persoalan mengenai kematangan dalam diriku.

Aku sedar diri ini bukanlah semakin muda, malah usia semakin menghakis jiwa dan hidup. Umur sudah melangkaui 24 tahun di mana memaksa diriku ini mencari jalan hidup yang lurus dan diredhai Allah. Aku tidak mahu jika jalan hidup yang dipilih membawaku ke pintu neraka. Muhasabah diri merupakan satu intipati rohani yang patut dilakukan setiap hari, kerana melalui proses ini, manusia lebih berkeyakinan menuju kehidupan yang hakiki iaitu akhirat. Perjalanan berada di kota metropolitan penuh dengan hawa nafsu, wang terus menjadi taruhan untuk memiliki sesuatu. Ada ketika, nafsu menjadi keutamaan dalam diri hingga lupa tujuan aku hidup di atas dunia in iaitu beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan di hati.

Segunung harapan untuk berubah menjadi lebih matang dan serius dalam kehidupan. Aku bersyukur kepada Allah yang telah memberiku rezeki yang melimpah ruah diselangi dengan dugaan dan cabaran. Aku mengakui yang diriku ini lemah ketika menghadapi cabaran sedangkan aku tidak sedar Allah sentiasa berada di sisiku. Insyaallah dengan segala kudrat yang ada, perubahan akan dilakukan masa demi masa. Luahan di laman sesawang ini bukan berniat untuk menunjukkan siapa diriku sebenar, tetapi ingin mencari kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri ini. Tidak sesekali ku anggap diri ini seorang arjuna yang gagah perkasa. Ku mohon seribu kemaafan jika terdapat salah atau terkasar bahasa. Bagi diriku, bahasa itu melambangkan bangsa kita, bangsa Melayu. Di mana lagi terletakknya maruah bahasa jika tidak dipertahan oleh bangsanya sendiri. Ayuh bangkit bangsaku, ingat di mana kita berada, di bumi inilah perjuangan tetap diteruskan hingga ke hembusan nafas yang terakhir.

:: Segala luahan di atas ialah ikhlas dari sanubari penulis.

"Tiada seindah rupa. jika tiada budi pekerti mulia"

Powered by Blogger.