Syukur kepada Allah

by


Alhamdulillah.
Itulah ungkapan pertama yang keluar dari bibir manisku ini bila tamat pengajian selama 5 tahun setengah sebagai seorang pelatih guru. Memang diakui  pelbagai onak dan duri telah ku tempuhi. tetapi aku tabah menghadapi semua itu demi ibu dan ayah yang tersayang. Tidak pernah telintas dalam kotak mindaku ini menjadi seorang guru apatah lagi mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pejuang bangsa dan negara. Aku masih hidup kerana Allah masih memberi peluang kepadaku untuk terus beribadah kepadanya. 

Adakah aku tidak matang?
Perkataan "matang" mempunyai dimensi yang berbeza mengikut pengalaman dan kehidupan seseorang. Aku tergerak menulis semua ini kerana kehidupan memberiku sedikit pengalaman untuk dilakar melalui tulisan. Matang pada aspek fizikal ialah pembesaran tubuh badan bagi lelaki dan perempuan, berbeda sekali dengan kematangan dari aspek emosi. Kematangan emosi dan perlakuan menunjukkan di mana tahap kita berada. Seringkali aku rebah apabila hendak menjawab persoalan mengenai kematangan dalam diriku.

Aku sedar diri ini bukanlah semakin muda, malah usia semakin menghakis jiwa dan hidup. Umur sudah melangkaui 24 tahun di mana memaksa diriku ini mencari jalan hidup yang lurus dan diredhai Allah. Aku tidak mahu jika jalan hidup yang dipilih membawaku ke pintu neraka. Muhasabah diri merupakan satu intipati rohani yang patut dilakukan setiap hari, kerana melalui proses ini, manusia lebih berkeyakinan menuju kehidupan yang hakiki iaitu akhirat. Perjalanan berada di kota metropolitan penuh dengan hawa nafsu, wang terus menjadi taruhan untuk memiliki sesuatu. Ada ketika, nafsu menjadi keutamaan dalam diri hingga lupa tujuan aku hidup di atas dunia in iaitu beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan di hati.

Segunung harapan untuk berubah menjadi lebih matang dan serius dalam kehidupan. Aku bersyukur kepada Allah yang telah memberiku rezeki yang melimpah ruah diselangi dengan dugaan dan cabaran. Aku mengakui yang diriku ini lemah ketika menghadapi cabaran sedangkan aku tidak sedar Allah sentiasa berada di sisiku. Insyaallah dengan segala kudrat yang ada, perubahan akan dilakukan masa demi masa. Luahan di laman sesawang ini bukan berniat untuk menunjukkan siapa diriku sebenar, tetapi ingin mencari kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri ini. Tidak sesekali ku anggap diri ini seorang arjuna yang gagah perkasa. Ku mohon seribu kemaafan jika terdapat salah atau terkasar bahasa. Bagi diriku, bahasa itu melambangkan bangsa kita, bangsa Melayu. Di mana lagi terletakknya maruah bahasa jika tidak dipertahan oleh bangsanya sendiri. Ayuh bangkit bangsaku, ingat di mana kita berada, di bumi inilah perjuangan tetap diteruskan hingga ke hembusan nafas yang terakhir.

:: Segala luahan di atas ialah ikhlas dari sanubari penulis.

"Tiada seindah rupa. jika tiada budi pekerti mulia"